PERTANYAAN-PERTANYAAN YANG KERAP DIAJUKAN (FAQs)
Soalan-Soalan Umum
Apa yang dimaksudkan dengan Skim Persaraan Caruman Tambahan (PCT) atau Supplemental Contributory Pension (SCP)?
Skim PCT adalah merupakan skim persaraan tambahan kepada Skim TAP. Sepertimana jua Skim TAP, ianya diwajibkan kepada semua pekerja di sektor awam dan sektor swasta kecuali mereka yang memegang jawatan yang berpencen di dalam Perkhidmatan Awam dan mereka yang sedang menerima bayaran pencen bulanan Perkhidmatan Awam. Disamping itu, sektor informal juga adalah digalakkan untuk menyertai skim ini. Skim ini adalah merupakan skim defined contribution yang menghendaki setiap peserta dan majikan untuk membuat caruman yang perlu dibuat secara bulanan menurut Undang-Undang.
Apakah objektif utama Skim PCT?
Objektif utama Skim PCT ini adalah untuk memastikan semua peserta Skim PCT, yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, menerima bayaran pendapatan bulanan minimum (anuiti) sebanyak B$150 (Ringgit Brunei: Seratus Lima Puluh) setelah mencapai umur persaraan mandatori iaitu genap umur 60 tahun. Melalui Skim ini, yang menjamin bayaran sebanyak B$150 (Ringgit Brunei: Seratus Lima Puluh), dan dicampur dengan bayaran Pencen Tua (OAP) sebanyak B$250 (Ringgit Brunei: Dua Ratus Lima Puluh) yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada masa ini, para pesara akan menerima pendapatan bulanan minimum berjumlah keseluruhan sebanyak B$400 (Ringgit Brunei: Empat Ratus).
Di samping itu, Skim PCT ini juga memberi pembayaran manfaat ‘survivorship’ bagi menjamin kesejahteraan tanggungan sekiranya peserta meninggal dunia sebelum bersara mandatori.
Apakah syarat-syarat untuk menjadi Ahli Skim PCT?
Syarat-syarat untuk menjadi ahli Skim PCT ialah:
· Rakyat atau Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam
· Berumur 18 tahun hingga 60 tahun
· Berkhidmat dengan sektor swasta atau sektor awam dan mencarum dengan Skim TAP
· Tidak menerima Pencen Perkhidmatan Awam
· Mereka yang bekerja sendiri adalah digalakkan menyertai PCT
Kenapakah Skim PCT ini diperkenalkan?
Skim PCT adalah merupakan skim persaraan tambahan kepada Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) kerana sebab-sebab seperti berikut:
· Pengeluaran TAP semasa persaraan adalah secara ‘lump-sum’ dan berdasarkan kajian-kajian yang telah dibuat, jumlah ini adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan di hari-hari persaraan;
· Memastikan semua peserta Skim PCT menerima pembayaran pendapatan bulanan minimum (anuiti) sebanyak B$150 selepas mencapai umur persaraan mandatori (60 tahun) untuk sepanjang hayat.
Manfaat Skim PCT
Selain daripada bayaran pendapatan minimum bulanan (anuiti), apakah manfaat lain Skim PCT?
Selain daripada bayaran pendapatan minimum bulanan (anuiti), skim ini juga menyediakan perlindungan manfaat ‘survivorship’.
Apakah yang dimaksudkan dengan manfaat perlindungan ‘survivorship’?
Manfaat perlindungan‘survivorship’ ini adalah satu komponen yang ditawarkan oleh Skim PCT ini yang mana bertujuan bagi menjamin kesejahteraan hidup tanggungan-tanggungan peserta Skim PCT (isteri dan anak-anak) apabila peserta Skim PCT meninggal dunia. Manfaat ini mengandungi dua komponen:
· Manfaat Perlindungan ‘survivorship’
· Manfaat pencen Skim PCT khas bagi tanggungan
Jika peserta Skim PCT meninggal dunia sebelum tarikh persaraan mandatori, siapakah yang berhak menerima manfaat perlindungan ‘survivorship’ secara bulanan (anuiti) itu?
Jika peserta meninggal dunia sebelum bersara mandatori, maka tanggungan-tanggungan peserta akan menerima manfaat ‘survivorship’. Jika peserta Skim PCT meninggal dunia sebelum tarikh persaraan mandatori, balu dan anak-anak (di bawah 21 tahun) peserta akan menerima manfaat ‘survivorship’ bulanan dengan jumlah minima B$400 sahaja selama 15 tahun dari tarikh peserta berkenaan meninggal dunia.
Sekiranya balu kepada peserta juga meninggal dunia, maka jumlah manfaat tersebut di atas akan dibayar kepada anak-anak peserta (di bawah 21 tahun) selama 15 tahun dari tarikh peserta berkenaan meninggal dunia. Sepertimana jua Akta Pencen-Pencen (Penggal 38), jika balu peserta yang meninggal berkenaan berkahwin lagi, maka manfaat perlindungan ‘survivorship’ tidak lagi diberikan kepada balu berkenaan tetapi akan dipindahkan kepada anak-anak peserta yang layak.
Bagaimanakah Akaun Ahli berfungsi?
Akaun Ahli dbahagikan kepada 2 bahagian iaitu (a) Akaun PCT yang mana 6% dari jumlah caruman majikan dan pekerja dimasukkan ke dalam akaun ini, dan (b) Akaun survivorship protection fund yang mana 1% dari jumlah caruman majikan dan pekerja dimasukkan ke dalam akaun ini.
Bagaimanakah faedah-faedah PCT berfungsi?
Jika Ahli mencapai umur 60 tahun, Ahli akan menerima bayaran bulanan yang mana jumlahnya adalah tertakluk kepada jumlah yang terkumpul di dalam Akaun PCT Ahli berkenaan.
Peserta Skim PCT
Formal – Bahagian Kerajaan & Pihak Swasta
Seorang pekerja bersara sebelum perlaksanaan Skim PCT dan menerima pencen dan elaun dibawah Akta Pencen. Selepas perlaksanaan Skim PCT, pekerja tersebut telah bekerja semula. Adakah pekerja tersebut diwajibkan untuk menjadi ahli kepada Skim PCT?
Mana-mana pekerja yang berpencen samada mula menerima pencen bulanan atau masih bekerja tidak dibenarkan untuk mendaftar ke dalam Skim PCT.
Sektor Informal
Siapakah yang boleh dimaksudkan dengan bekerja sendiri di dalam sektor informal?
Pada peringkat awal ini, sektor informal adalah ditakrifkan sebagai individu yang terdiri daripada Rakyat dan Penduduk Tetap negara ini yang sudah berusia 18 tahun dan ke atas yang bekerja atau membuat perniagaan secara persendirian untuk mendapatkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan bagi diri sendiri atau untuk menyara ahli keluarga seperti nelayan, petani dan peniaga/pengusaha kecil persendirian (self-employed).
Bagi sektor informal, bolehkah pencarum membuat caruman bukan secara bulanan?
Pencarum adalah dikehendaki membuat caruman secara berterusan pada setiap bulan sebanyak 7% daripada gaji bulanan yang mana 3.5% adalah daripada pekerja dan 3.5% daripada pekerja dan 3.5% daripada majikan.
Caruman
Berapakah kadar caruman PCT?
Kadar caruman PCT ialah 3.5% berdasarkan gaji bulanan pekerja iaitu 3.5% dicarumkan oleh pekerja dan 3.5% dari majikan menjadikan kadar caruman kepada 7%.
Apakah yang dimaksudkan dengan gaji didalam konteks PCT?
Yang dimaksudkan dengan gaji ialah wang yang diterima oleh pekerja atas perkhidmatannya samaada dibayar secara bulanan, mingguan, harian atau sebagainya dan termasuk bonus yang melebihi 2 bulan gaji, komisyen, elaun-elaun yang perlu dibayar oleh majikan. Walaubagaimanapun, ianya tidaklah termasuk (a) elaun penginapan, makanan, minyak, lampu, air, perubatan, atau sebarang 'amenity' atau perkhidmatan; (b) sebarang caruman dibayar oleh majikan kepada dana pencen atau dana persaraan; (c) elaun perjalanan; (d) bayaran khas bagi melaksanakan sesuatu pekerjaan yang tertentu; (e) bayaran baksis yang dibayar kerana berhenti berkhidmat atau bersara; (f) caj perkhidmatan; (g) bayaran lebih masa; (h) faedah-faedah yang dibayar kerana berhenti berkhidmat; dan (i) mana-mana wang atau pembayaran yang ditetapkan oleh Menteri Kewangan.
Bolehkah seseorang pekerja mencarum melabihi daripada 3.5% secara sukarela?
Pekerja boleh pada bila-bila masa mencarum melebihi 3.5% secara sukarela.
Bolehkah majikan membayar caruman majikan untuk pekerjanya melebihi dari 3.5% secara sukarela?
Majikan boleh pada bila-bila masa membayar caruman majikan untuk pekerjanya melebihi dari 3.5% secara sukarela.
Berapakah jumlah manfaat pencen yang akan diterima oleh pencarum apabila bersara?
Apabila seorang pencarum mencapai usia 60 tahun, jumlah dana yang dikumpulkan di dalam akaun PCT pekerja berkenaan akan digunakan untuk pembayaran anuiti secara bulanan. Jika seseorang pencarum memenuhi semua kriteria, bayaran bulanan minima yang akan diterima oleh pencarum tersebut ialah sebanyak B$150 bagi tempoh 20 tahun setelah bersara mandatori.
Adakah skim ini telah mengambil kira faktor kadar inflasi yang akan menjejaskan jumlah simpanan sebenar (‘real value’) setelah mencapai umur persaraan?
Skim ini merupakan skim yang dinamik yang akan dikaji dari masa ke semasa berdasarkan keadaan-keadaan tertentu bagi memastikan objektif skim ini sentiasa dipenuhi.
Adakah ahli Skim PCT dibenarkan untuk menangguhkan penerimaan manfaat PCT melebihi umur 60 tahun?
Sebagaimana yang dipersyaratkan dan bagi mempastikan objektif skim PCT ini tercapai, semua ahli PCT akan menerima manfaat Skim PCT sebaik sahaja mencapai umur persaraan mandatori iaitu 60 tahun.
Adakah manfaat sebanyak B$400 sebulan mencukupi untuk keperluan asas pada hari tua nanti?
Skim ini merupakan skim yang dinamik yang akan dikaji dari masa ke semasa berdasarkan keadaan-keadaan tertentu bagi memastikan objektif skim ini sentiasa dipenuhi termasuklah keperluan asas selepas bersara dari perkhidmatan.
Top-Up
Sekiranya seorang pencarum itu berhijrah untuk bekerja di luar negeri selama beberapa tahun dan kemudian berhijrah semula ke Negara Brunei Darussalam, adakah ia berhak untuk mendapat jumlah tambahan bagi mencukupkan simpanan yang akan melayakkannya untuk mendapatkan pendapatan minima bulanan?
Tidak, kerana ianya tidak memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Catch-Up
Adakah pekerja-pekerja yang berpendapatan tinggi dan yang berpendapatan rendah berhak menerima jumlah ‘catch up’ yang sama?
Jumlah ‘catch-up’ yang akan dihulurkan kepada setiap peserta di dalam golongan Generasi Peralihan ini adalah sebanyak B$30.00 (Ringgit Brunei: Tiga puloh sahaja) sebulan sejak ianya menjadi ahli TAP secara sama rata tanpa mengambilkira gaji bulanan ahli. Jika peserta tersebut menjadi ahli TAP lebih awal daripada umur 25 tahun, ‘catch-up’ hanya akan dibayar mulai ianya mencapai umur 25 tahun.
Jika seseorang telah meninggal dunia sebelum Skim PCT diperkenalkan, adakah mereka berhak menerima manfaat ‘catch up’?
‘Catch-up’ adalah merupakan bayaran caruman yang dibuat secara kebelakangan yang akan dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Generasi Peralihan iaitu Rakyat dan Penduduk Tetap negara ini yang sedang berkhidmat di sektor awam dan swasta pada masa ini dan masih menyertai Skim TAP pada 1hb Januari 2010.
Matching
Adakah majikan diperlukan menyumbang sama (matching) bagi caruman tambahan pekerja?
Majikan tidak diperlukan untuk menyumbang sama (matching) bagi caruman tambahan pekerja tersebut. Bagaimanapun majikan dibolehkan secara sukarela menyumbang melebihi caruman mandatori.
Pulangan/Dividen Simpanan
Berapakah anggaran pulangan/dividen yang dapat dihasilkan dari akaun PCT?
Bayaran pulangan/dividen adalah tertakluk kepada pulangan pelaburan tahunan dan ini akan diumumkan oleh Lembaga PCT pada setiap tahun. Lembaga PCT dijangka bersikap konservatif di mana sewaktu mendapat pulangan yang tinggi mereka akan mengumumkan dividen yang sederhana dan selebihnya di simpan ke dalam dana rizab (reserve fund) yang akan digunakan untuk menambah dividen dalam keadaan pulangan pelaburan yang kurang memberangsangkan.
Lembaga PCT & Operasi Skim PCT
Pihak manakah yang bertanggungjawab bagi menguruskan segala hal ehwal pentadbiran yang berkenaan dengan Skim PCT seperti pendaftaran, pembayaran dan lain-lain?
Lembaga yang dilantik akan bertanggungjawab terhadap urustadbir dan dasar Skim PCT. Bagi membantu Lembaga melaksanakan tanggungjawab tersebut, satu unit baru ditubuhkan di dalam Kementerian Kewangan yang digelar Unit SCP.