
SKIM PENCEN CARUMAN TAMBAHAN (PCT)
PENGENALAN
Skim Pencen Caruman Tambahan atau Supplemental Contributory Pensions Scheme (SCP) ditubuhkan di bawah Perintah Pencen Caruman Tambahan, 2009 dan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2010. Skim ini merupakan skim tambahan kepada Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP). Sepertimana jua Skim TAP, ianya diwajibkan kepada semua pekerja di sektor awam dan sektor swasta. Di samping itu, mereka yang bekerja sendiri juga digalakkan untuk menyertai skim ini.
OBJEKTIF
Objektif Skim SCP adalah untuk memastikan Rakyat dan Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan akan menerima pendapatan minimum sebanyak B$150.00 setiap bulan setelah mencapai umur persaraan 60 tahun, disamping penerimaan Pencen Tua sebanyak B$250.00 sebulan.
KELAYAKAN UNTUK MENJADI AHLI
Rakyat dan Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam yang bekerja di sektor awam atau sektor swasta dan berumur di bawah 60 tahun adalah dimestikan untuk menyertai skim SCP. Walaubagaimanapun, mereka yang memegang jawatan berpencen di dalam Perkhidmatan Awam atau sedang menerima bayaran pencen bulanan Perkhidmatan Awam adalah dikecualikan dari menyertai skim SCP ini.
Rakyat dan Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam yang berumur di bawah 60 tahun yang bekerja sendiri adalah digalakkan untuk menyertai skim ini secara sukarela.
CARUMAN
Kadar Caruman
Kadar caruman pada masa ini ialah 3.5% daripada gaji bulanan peserta dan majikan pula mencarumkan dengan kadar yang sama iaitu 3.5% berdasarkan gaji peserta berkenaan pada setiap bulan. Ini menjadikan jumlah kadar caruman kepada 7% setiap bulan.
Jumlah keseluruhan caruman SCP akan dibahagikan kepada 2 bahagian: 6% ke dalam Akaun SCP peserta dan 1% ke dalam Dana Perlindungan ’Survivorship’.

Jumlah Minimum Caruman
Jumlah minimum caruman SCP ialah sebanyak B$35.00 setiap bulan; iaitu B$17.50 daripada para peserta dan B$17.50 lagi daripada majikan. Perkiraan tersebut mengambilandaian bahawa gaji bulanan yang diterima oleh peserta ialah B$500.00.
|
Gaji Bulanan |
B$500.00 |
|
3.5% dari gaji pekerja |
B$17.50 |
|
3.5% dari majikan |
B$17.50 |
|
Jumlah caruman SCP |
B$35.00 |
Jika gaji seseorang peserta Skim SCP di bawah daripada B$500.00 dan berdasarkan kadar caruman 3.5%, jumlah carumannya sebulan adalah di bawah B$17.50, maka Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan memberi caruman bantuan (top up) untuk menambah kekurangan berkenaan bagi memastikan caruman peserta mencapai jumlah minimum B$17.50. Perkara ini sama bagi pekerja dari sektor awam dan swasta. Walaubagaimanapun, pihak majikan masih lagi dikehendaki membayar caruman minimum B$17.50.
|
Gaji Bulanan |
B$400.00 |
|
3.5% dari gaji pekerja |
B$14.00 |
|
Caruman bantuan Kerajaan |
B$3.50 |
|
3.5% dari majikan |
B$17.50 |
|
Jumlah caruman SCP |
B$35.00 |
Bagi peserta yang bekerja sendiri pula, mereka dikehendaki membuat caruman bulanan sebanyak B$17.50 secara berterusan. Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan mencarumkan sebanyak B$17.50 ke dalam akaun peserta berkenaan sebagai ganti kepada caruman majikan bagi memastikan jumlah minimum sebanyak B$35.00 dapat dipenuhi setiap bulan.
Jumlah Maksimum Caruman
Untuk tidak membebankan pihak majikan, jumlah maksimum caruman SCP ialah pada jumlah B$98.00 iaitu berdasarkan 3.5% daripada gaji peserta B$2,800.00. Walaubagaimanapun, peserta dan majikan boleh mencarum melebihi daripada B$98.00 secara sukarela.
PEMBAYARAN ’CATCH-UP’
Pembayaran ’Catch up’ adalah merupakan bayaran caruman yang dibuat secara kebelakangan yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Generasi Peralihan iaitu Rakyat dan Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam yang menjadi ahli Tabung Amanah Pekerja pada 31 Disember 2009 dan belum mencapai umur 55 tahun padar tarikh berkenaan.
Jumlah ’catch up’ yang dibayar secara ’front loading’ kepada akaun SCP Generasi Peralihan pada 1 Januari 2010 ialah sebanyak B$30.00 setiap bulan dari tarikh mereka mula menjadi Ahli TAP atau semasa mencapai umur 25 tahun, mana-mana yang kemudian.
Insentif ’catch up’ ini bertujuan untuk memastikan setiap peserta mempunyai simpanan yang mencukupi sebelum bersara mandatori untuk mereka menikmati manfaat Skim SCP. Ini adalah kerana terdapat sebilangan peserta yang tidak dapat membuat caruman selama 35 tahun iaitu tempoh minimum yang diperlukan disebabkan telah mencapai umur lebih 25 tahun apabila Skim SCP berkuatkuasa. Tempuh masa pengumpulan (’vesting period’) yang optimum untuk mencapai matlamat SCP adalah dengan mencarum jumlah yang tidak kurang dari jumlah caruman minimum secara konsisten sekurang-kurangnya 35 tahun atau bermula sejak peserta berumur 25 tahun.
MANFAAT SCP
Manfaat Pembayaran Bulanan (Anuiti)
- · Peserta akan menerima pembayaran simpanan SCP apabila mencapai umur 60 tahun secara bulanan (anuiti) untuk tempoh 20 tahun.
· Jumlah pembayaran bulanan adalah tertakluk kepada jumlah simpanan yang terkumpul di dalam Akaun SCP peserta. Walaubagaimanapun, jumlah minimum pembayaran ialah B$150.00 sebulan jika peserta memenuhi syarat mencarum sebanyak 7% sebulan bagi selama 35 tahun secara berterusan.
· Bagi peserta yang telah mencapai umur 60 tahun dan memenuhi semua persyaratan mencarum sebanyak 7% bagi selama 35 tahun akan tetapi masih tidak mempunyai baki simpanan yang mencukupi bagi membolehkan pembayaran jumlah minimum B$150.00, maka Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan membuat ’top-up’ ke dalam Akaun SCP peserta bagi membolehkan pembayaran minimum sebanyak B$150.00 sebulan dapat dilaksanakan.
-
· Jika peserta yang telah mencapai umur 60 tahun, mencarum kurang daripada 35 tahun dan tidak mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi di dalam Akaun SCP nya untuk membolehkan pembayaran minimum anuiti pada jumlah B$150.00, maka peserta tidak akan menerima B$150.00 sebulan, sebaliknya ianya akan menerima secara ’lump sum’ jumlah yang terkumpul di dalam akaun SCP nya.
Manfaat Survivorship
· Manfaat survivorship ialah pembayaran bulanan kepada tanggungan (balu dan anak-anak di bawah umur 21 tahun) dengan jumlah B$400.00 sekiranya peserta meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun. Kelayakan menerima manfaat ini adalah tertakluk kepada peserta mencarum secara berterusan sehingga pada bulan sebelum bulan peserta meninggal dunia. Jangkamasa pembayaran manfaat ini ialah selama 15 tahun dari tarikh peserta meninggal dunia.
- · Sekiranya balu peserta juga meninggal dunia atau berkahwin semula, maka baki jumlah manfaat survivorship ini akan dibayar kepada anak-anak balu/peserta yang berumur di bawah 21 tahun yang berhak menerima manfaat survivorship ini.
- · Jika balu peserta meninggal dunia atau berkahwin semula dan anak-anak peserta yang menerima manfaat survivorship ini telah mencapai umur 21 tahun sebelum tempoh 15 tahun tamat, maka pembahagian baki manfaat ini adalah tertakluk kepada Hukum Syara’. Jika peserta bukan seorang Muslim, pembahagiannya adalah tertakluk kepada wasiatnya; dan jika tidak ada wasiat maka pembahagiannya adalah tertakluk kepada perundangan yang mengawal intestate succession.
Manfaat SCP Khas
· Jika peserta meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun, maka jumlah yang terkumpul di dalam Akaun SCP nya akan dibayar secara bulanan kepada waris-warisnya yang berhak mengikut Hukum Syara’ jika peserta seorang Muslim; dan jika ianya bukan seorang Muslim maka mengikut wasiatnya, dan jika tidak ada wasiat maka mengikut perundangan yang mengawal intestate succession. Jangkamasa pembayaran ialah selama 15 tahun dari tarikh peserta meninggal dunia.
· Jika peserta meninggal dunia diantara umur 60 tahun hingga 75 tahun, maka jumlah baki yang terkumpul di dalam akaunnya akan dibayar secara bulanan kepada waris-waris nya yang berhak seperti di atas. Jangka masa pembayaran ialah dari tarikh peserta meninggal dunia sehingga umur peserta berkenaan di kira mencapai 75 tahun, jika peserta berkenaan hidup.
· Jika peserta meninggal dunia selepas umur 75 tahun, maka jumlah baki yang terkumpul di dalam akaunnya akan di bayar secara lump sum kepada waris-warisnya yang berhak menerima seperti di atas.
PENDAFTARAN MAJIKAN DAN PEKERJA
Pendaftaran Majikan
Pendaftaran majikan hendaklah dibuat di Tabung Amanah Pekerja (TAP).
Bagi majikan yang telah berdaftar dengan TAP sehingga 31hb Disember 2009, TAP telah membuat pendaftaran secara automatik. Maklumat Akaun SCP untuk majikan bolehlah di dapatkan dari mana-mana cawangan TAP.
Manakala bagi majikan yang berdaftar dengan TAP pada atau selepas 1hb Januari 2010 pula, mereka adalah dikehendaki untuk mengisikan borang SCP 01 dan mengembalikannya kepada TAP.
Pendaftaran Pekerja
Pendaftaran pekerja hendaklah dibuat di Tabung Amanah Pekerja (TAP).
Bagi pekerja yang telah menjadi Ahli TAP sehingga 31hb Disember 2009, TAP telah membuat pendaftaran secara automatik. Maklumat Akaun SCP untuk peserta bolehlah di dapatkan dari mana-mana cawangan TAP.
Manakala bagi pekerja yang berdaftar dengan TAP pada atau selepas 1hb Januari 2010 pula, mereka adalah dikehendaki untuk mengisikan borang SCP 03 dan mengembalikannya kepada TAP.
PEMBAYARAN CARUMAN BULANAN
Pembayaran caruman bulanan hendaklah dibuat di kaunter-kaunter TAP dengan menghadapkan bersama Borang SCP02* dan Slip Pembayaran SCP yang telah dilengkapkan. (TAP akan menyediakan borang pre-printed SCP02 dan menghadapkannya kepada majikan yang telah berdaftar setiap bulan. Ianya boleh juga didapatkan di kaunter-kaunter TAP).
Pembayaran caruman hendaklah dihadapkan tidak lewat daripada hari yang ke 15 pada bulan berikutnya. Ianya boleh dibuat dengan cara berikut:
a. Wang Tunai, atau
b. Cek, atau
Untuk bayaran menggunakan cek, bayaran ialah kepada kepada Lembaga Persaraan Caruman Tambahan, atau Persaraan Caruman Tambahan, atau Supplemental Contributory Pension Board, atau Supplemental Contributory Pension
atau
c. Cashier order
Majikan hendaklah terlebih dahulu menghadapkan permohonan kepada TAP. Bayaran menggunakan cara ini hanya dibuat setelah mendapat kebenaran TAP.
Untuk keterangan lanjut sila hubungi:
No. telefon : +673 238 4303 atau
Pusat Panggilan TAP : +673 238 2800
Emel : scp@mof.gov.bn
Laman web : www.mof.gov.bn
Last update : 30 August 2011