BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka dengan ini Kementerian Kewangan sukacita memaklumkan bahawa Baginda Sultan telah memperkenankan Perintah Autoriti Monetari Brunei Darussalam, 2010 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2011.
Perintah tersebut antara lain memperuntukkan bagi penubuhan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Lembaga AMBD dan perkara-perkara yang berkaitan dengan matlamat, pengendalian pentadbiran, tugas-tugas, kuasa dan kewajipan-kewajipan AMBD yang termasuk hubungan AMBD dengan kerajaan, hubungan AMBD dengan bank-bank dan institusi-institusi kewangan; dan pindaan-pindaan berbangkit dan berkaitan ke atas undang-undang bertulis lain yang mengawal aktiviti-aktiviti yang diselia AMBD.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan malam ini, AMBD akan berfungsi sebagai sebuah badan korporat dan bertindak sebagai Bank Pusat bagi Negara Brunei Darussalam termasuk dalam merumus dan melaksanakan dasar-dasar monetari, menyelia institusi-institusi kewangan dan mengurus matawang.
Menurut Bab 12 dari Perintah berkenaan, Baginda Sultan juga telah memperkenankan pelantikan Ahli-ahli Lembaga AMBD seperti berikut:
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi,
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Pembangunan selaku Timbalan Pengerusi,
Ahli-ahli lain Lembaga AMBD adalah terdiri daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang haji Ali bin Apong, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Awang Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Yang Mulia Dato Seri Setia Haji Awang Metussin bin Haji Baki, Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Yang Mulia Datin Paduka Magdalene Chong, Peguamcara Negara, Yang Mula Dato Paduka Dr Haji Ismail bin Haji Duraman, Pengarah Eksekutif, Pusat Pengajian Strategik dan Polisi (CSPS), Pengarah Urusan AMBD selaku ex-officio.
Kenyataan itu berkata, selaras dengan pengenalan Perintah Autoriti Monetori Brunei Darussalam 2010, Baginda Sultan juga telah memperkenankan bagi pindaan ke atas Perintah Matawang dan Monetori 2004 yang digelar Perintah Matawang dan Monetori (Pindaan) 2010. Perintah ini juga mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2011.
Antara lain, Perintah ini memperuntukkan bagi pemindahan kuasa-kuasa Lembaga Matawang dan Monetori Brunei (BCMB) kepada AMBD termasuk aset dan liabiliti BCMB. Di samping itu, Perintah ini juga memperuntukkan bagi penubuhan Dana Matawang atau Currency Fund bagi tujuan pengurusan matawang.
Berikutan dengan penubuhan AMBD, Kementerian Kewangan sukacita memaklumkan bahawa Perjanjian Kesalingbolehtukaran Matawang di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Republik Singapura adalah masih dikekalkan.
- Courtesy by : Media Permata, Sabtu/Ahad, 1/2 Januari 2011.