
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumat, 16 September. – Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya malam tadi mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di lobi bangunan Kementerian berkenaan, di Jalan Menteri Besar, di sini.
Berangkat ke majlis tersebut Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah.
Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Kewangan Kedua di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.
Majlis pada malam itu diselanjurkan dengan pengurniaan cenderahati kepada pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang bersara pada tahun 2011 disempurnakan oleh YTM.

YTM juga berkenan beramah mesra bersama dengan para pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan dan berkenan melawat ke gerai-gerai jamuan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Kewangan.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pengarah-pengarah, ketua-ketua jabatan dan para pegawai serta kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Kewangan bertujuan untuk beramah mesra sempena meraikan hari yang mulia itu sekaligus mengeratkan lagi silaturahim di antara para pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis kali ini diselaraskan oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan dipengerusikan oleh Pengarah Urusan TAP, Dayang Norliah binti Haji Kula.
Para hadirin pada malam itu turut dihiburkan dengan acara pentas dan persembahan nyanyian dari para pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
- Pelita Brunei Keluaran 17 September.