


Bandar Seri Begawan, Khamis 9 Disember 2010 - Kementerian Kewangan dan Jabatan-Jabatan di dalamnya telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1432, pada 3 Muharam 1432H, bersamaan 9 Disember 2010, bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive.
Berangkat ke Majlis tersebut adalah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.
Turut hadir adalah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd Rahman bin Haji Ibrahim, Pemangku Menteri Kewangan, selaku Tetamu Kehormat, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Pegawai-Pegawai Kanan dan Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kewangan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Yang Mulia Mudim Haji Metassim bin Haji Metussin, Imam Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien III, Bandar Seri Begawan.
Seterusnya Majlis diserikan dengan Ceramah Khas bertajuk “Hijrah; Berubah Kearah Kecemerlangan” sempena tema sambutan hijrah tahun ini yang disampaikan oleh Yang Mulia (Dr.) Ustaz Haji Mohammad Adi Zaky bin Haji Metassim, penceramah undangan dari Institut Perkhidmatan Awam.
Majlis ini adalah merupakan salah satu aktiviti tahunan keagamaan Kementerian Kewangan yang bertujuan untuk memperingati dan membesarkan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1432, di samping mengeratkan hubungan silaturrahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Jabatan-Jabatan Di Dalamnya.
Majlis tersebut telah diselaraskan oleh Jabatan Perbendaharaan.
- Pictures courtesy by Hadianas/Treasury Department.