Bandar Seri Begawan, Isnin, 8 Ogos 2011 – Dalam merebut ganjaran pahala di bulan suci Ramadhan Al-Mubarak ini, Kementerian Kewangan dan Jabatan-Jabatan di dalamnya meneruskan lagi Majlis Bertadarus bersiri di Masjid Kampong Beribi.
Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah, Pemangku Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap dan Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Jabatan-Jabatan di dalamnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Faatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Kampong Beribi, Awg Asbinin bin Haji Zainal. Seterusnya diikuti dengan bertadarus Al Qur’an dari juzuk 11 hingga juzuk 20 yang dikepalai oleh Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah, Pemangku Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri dan diteruskan oleh pembaca-pembaca daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan-Jabatan di dalamnya berserta ahli-ahli Takmir Masjid Kampong Beribi. Majlis juga diteruskan dengan bacaan tahlil, bersungkai dan diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Ketua Imam masjid berkenaan.

Insyaallah, majlis bertadarus seterusnya akan diadakan di Masjid Kampong Belimbing Subok pada 11 Ogos 2011 dan Majlis Khatam Al Qur’an akan diadakan di Surau Kementerian Kewangan pada 15 Ogos 2011.
Majlis Bertadarus kali ini diungkayahkan oleh Jabatan Perbekalan dan Stor Negara, Kementerian Kewangan.