Kementerian Kewangan serta Jabatan-Jabatan di dalamnya telah mengadakan Majlis Ceramah Khas sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam (S.A.W) bagi Tahun 1448 Hijrah pada hari Rabu, 20 Rabiulawal 1448 bersamaan 2 September 2026 bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di Majlis Ceramah Khas ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri Kewangan II. Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Timbalan Menteri Kewangan, Setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan serta Jabatan-Jabatan di dalamnya termasukpegawai dan kakitangan Brunei Darussalam Central Bank.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan penyampaian sebuah ceramah khas yang bertajuk “Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam Suluh Aqidah” yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Muskrisman bin Haji Mustapa, Pegawai Perkembangan Ugama, Penolong Bahagian Penyebaran Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan serta persembahan dikir.

Majlis ini adalah merupakan salah satu aktiviti tahunan keagamaan Kementerian Kewangan untuk menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W di samping bagi mengenang jasa Rasulullah S.A.W dalam memperjuangkan syiar Islam sekali gus menyuntik rasa kecintaan kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W.

Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi Kementerian Kewangan telah diselenggarakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat (BPSMHEK), Kementerian Kewangan dan Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (HMSF).

-TAMAT-

Disediakan oleh:
Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat
Kementerian Kewangan
Negara Brunei Darussalam

Emel: corporatecommunication@mof.gov.bn
Rujukan: KKW/ADM/28
Tarikh: 2 September 2026