Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengadakan Mesyuarat Penutup Operasi MALBAS 2026 di Ibu Pejabat JKED pada 24 Rabiulakhir 1448H bersamaan dengan 6hb Oktober 2026.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Haji Mohammad Mu’inuddin Chin bin Abdur Rahman, Timbalan Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, JKED dan Yang Berusaha Almirulita binti Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), JKDM. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari JKED dan JKDM.

Operasi MALBAS 2026 yang telah dijalankan bermula 7 hingga 18 September 2026 merupakan operasi penguatkuasaan bersama pertama yang dilaksanakan secara dua hala antara JKED dan JKDM. Pelaksanaan operasi tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kerjasama strategik, khususnya dalam perkongsian maklumat, risikan dan tindakan penguatkuasaan bagi mencegah serta membanteras kegiatan penyeludupan dan pelanggaran undang-undang kastam.

Sepanjang pelaksanaan Operasi MALBAS 2026, sebanyak 22 kes tangkapan telah berjaya direkodkan oleh kedua-dua pentabdiran kastam. Hasil operasi tersebut telah dibentangkan dalam mesyuarat, disamping membincangkan cabaran penguatkuasaan di pos-pos kawalan. Mesyuarat turut menjadi platform bagi sesi perkongsian pengalaman, pertukaran pandangan serta amalan terbaik dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan kastam.

Disamping mesyuarat tersebut, delegasi JKDM juga berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke Bangunan Operasi Marin, Sungai Lampai serta meninjau kawasan perairan di Negara Brunei Darussalam bagi mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai operasi dan keupayaan penguatkuasaan maritim JKED.

Pelaksanaan Operasi MALBAS 2026 ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama penguatkuasaan yang lebih erat, bersepadu dan berterusan antara JKED dan JKDM. Inisiatif ini sekali gus memperkukuhkan usaha kedua-dua negara dalam menangani cabaran serta ancaman penyeludupan dan jenayah rentas sempadan demi keselamatan, kemakmuran dan kepentingan bersama.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kastam dan Eksais Diraja
Kementerian Kewangan
Negara Brunei Darussalam
Rujukan : RCED/PR/1
Tarikh : 25 Rabiulakhir 1448H| 7 Oktober 2026