Mesyuarat Kerjasama Dua Hala Kali Ke-13 di antara Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) Negara Brunei Darussalam dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), telah berlangsung di Johor Bahru, Malaysia pada 27hb hingga 28hb Oktober 2026.
Mesyuarat telah dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim, Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, JKED dan Yang Berbahagia Dato’ Sri Haji Amran bin Haji Ahmad, Ketua Pengarah Kastam, JKDM.
Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan daripada JKED dan JKDM bagi membincangkan perkembangan dan perkara-perkara berkepentingan bersama antara kedua-dua pentadbiran kastam. Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pencapaian dan hasil perlaksanaan Operasi MALBAS 2026, yang merupakan operasi penguatkuasaan bersama kali pertama secara dua hala antara JKED dan JKDM. Mesyuarat ini turut membincangkan peluang dan inisiatif pembangunan kapasiti yang dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak, serta bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman dalam meneroka ruang kerjasama baharu, khususnya dalam memudahcara perdagangan.
Seterusnya, delegasi JKED mengadakan lawatan kerja ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor bagi melihat secara lebih dekat operasi dan pelaksanaan kawalan JKDM di pintu masuk sempadan Singapura dan Malaysia. Lawatan telah memberikan peluang bagi delegasi JKED untuk bertukar-tukar pandangan serta menimba pengalaman dan amalan terbaik daripada pihak JKDM, khususnya dalam aspek pengurusan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara.
Jabatan Kastam dan Eksais Diraja
Kementerian Kewangan
Tarikh: 19 Jamadilawal 1448
31 Oktober 2026